Tips Mendapatkan Penyewa Yang Berkualiti
Sebagai pemilik hartanah, mungkin kita pernah mendengar istilah penyewa dari neraka. Istilah ini merujuk kepada betapa sengsaranya pemilik apabila terpaksa berhadapan dengan penyewa yang mempunyai ragam yang tidak baik. Pelbagai ragam yang ditemui antaranya penyewa yang gemar membawa pasangan bukan mahram, menjadikan pusat proses dadah, penyewa seorang penjenayah dan culas untuk membayar sewa. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, pihak pemilik hartanah terpaksa terlibat sama terutama melibatkan kes-kes mahkamah dan pihak polis. Jadi apakah tip-tip mendapatkan penyewa yang berkualiti.
#1 Menyediakan surat perjanjian
Antara perkara yang biasa terlepas pandang oleh pemilik adalah gagal menyediakan surat perjanjian. Apa yang mereka tumpukan pada bakal penyewa adalah hanya menyediakan wang deposit dan utiliti sebagai satu bentuk komitmen. Namun dengan menyediakan surat perjanjian di antara penyewa dan pemilik mampu membantu melancarkan proses aliran tunai. Antara perkara yang lain pula, aliran tunai yang masuk ke dalam akaun akan dijadikan sebagai wang pendapatan pemilik. Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan peratusan DSR (Debt Service Ratio) apabila mahu membuat sebarang pinjaman yang lain.
#2 Temuduga
Mungkin ada sesetengah beranggapan, penyewa yang mengadakan proses temuduga adalah satu perkara yang amat leceh. Namun dengan cara ini mampu menapis penyewa yang benar-benar tidak berkualiti. Sebagai contoh, gaji seorang bakal penyewa adalah sebanyak RM2000. Tetapi mahu menyewa rumah yang kadar sewaan sebanyak RM1200. Berbaki RM800 sebenarnya memperlihatkan penyewa tidak mempunyai isi kewangan yang kukuh. Bukanlah kita mengatakan ia tidak layak secara sepenuhnya. Namun dengan menyediakan deposit penuh tidak bermakna bakal penyewa dianggap mampu dari segala sudut. Bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara si pemilik rumah.
#3 Budi Bicara Penyewa
Jika mahu mengharapkan penyewa yang berkualiti, sebagai pemilik juga haruslah mempamerkan akhlak yang baik. Bina satu bentuk komunikasi yang positif di antara penyewa dan pemilik. Selain itu, penyewa juga boleh melakukan rutin bulanan atau tahunan bertanyakan tentang masalah-masalah yang melibatkan masalah elektrik, lampu, paip dan sebagainya. Dengan cara itu, sedikit sebanyak mampu menjadikan penyewa begitu selesa terhadap pemilik rumah.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, cara ini bukanlah bermakna kita menafikan hak orang lain tetapi ia membantu pihak pemilik dalam melancarkan proses aliran tunai. Sebagai bakal penyewa pula, kenalpasti tahap kemampuan kita dalam mencari rumah sewa yang sesuai. Benar, zaman sekarang ini rumah sewa agak terlalu mahal, namun itulah hakikat yang terpaksa kita terima.